Meor Rahman dan Tentera JepunTidak berapa lama kemudian, tentera Jepun pun tibalah dengan kapal pendarat tenteranya. Seperti kebiasaan, mereka melepaskan beberapa das tembakan pistol ke udara untuk memanggil orang-orang kampung agar mengangkat mereka ke darat. Sebaik sahaja mereka mendarat, mereka melihat hanya perempuan-perempuan tua sahaja yang kelihatan. Mulut mereka becok merungut-rungut kerana belum berjumpa wanita muda di pulau tersebut. Tentera Jepun tersebut terus mencari di sekitar pulau. Tidak lama kemudian,tentera Jepun itu sampailah ke rumah Meor Abdul Rahman. Tindakan pemuda-pemuda kampung yang asyik memandang ke arah rumah Meor Abdul Rahman telah mencurigakan pihak tentera Jepun. Mereka pun terus naik ke atas rumah Meor Abdul Rahman. Meor Abdul Rahman yang berdiri di muka pintu pun terus membaca beberapa potong ayat Al-Quran sambil terus berdoa. "Yaasiin. Walqur'an nil hakim...Ya Allah Ya Tuhanku..." Sebaik sahaja daun pintu ditolak, tentera Jepun menjadi begitu terkejut dan ketakutan melihat betapa hodohnya perempuan-perempuan yang berada di dalam rumah Meor Abdul Rahman.Sentuh pun mereka tidak mahu.Askar-askar Jepun tersebut menjadi gempar ketakutan sambil menjerit-jerit dalam bahasa Jepun, "Korahh...korahh...korahh..." Tentera Jepun pun berlalu dari rumah Meor Abdul Rahman. Sebaik sahaja tentera Jepun berundur dari rumah Meor Abdul Rahman, mereka telah melihat penduduk kampung yang asyik memerhatikan ke arah sebuah tongkang Cina. Mereka nampak seorang lelaki Cina tua sedang menimba air laut dari geladak tongkangnya. Tentera Jepun pun terus pergi mendapatkan tongkang tersebut. Setelah memeriksanya, mereka lalu mengesyaki sesuatu. Tentera Jepun lalu menolak papan besar yang menutup lantai tongkang tersebut. Sebaik sahaja papan penutup tersebut ditolak, kelihatanlah ramai anak-anak gadis Cina di dalamnya. Lelaki Cina tua tersebut telah ditolak ke dalam air laut dan ditembak sehingga mati. Anak-anak gadis Cina tersebut pula telah diangkut ke dalam kapal perang mereka. Di atas kapal tersebut, anak-anak gadis Cina tersebut telah diperkosa beramai-ramai. Jerit pekik mereka dikatakan kedengaran sehingga ke Pulau Sudong. Selepas tentera Jepun hilang daripada pandangan, maka terselamatlah perempuan-perempuan di Pulau Sudong. Selepas peristiwa tersebut, Meor Abdul Rahman lalu mengarahkan ketujuh-tujuh bilah keris tanpa hulu tersebut dicampak kembali ke laut. Pada awalnya mereka agak keberatan untuk membuangnya, kerana mereka berhasrat untuk menyimpannya kerana percaya keris-keris tersebut membawa tuah.Apabila ditanya oleh Meor Abdul Rahman sama ada mereka telah mengembalikan semula keris tersebut ke laut, mereka berbohong dan mengatakan telah membuangnya. "Kalau dah buang, macam mana bunyinya?" tanya Meor Abdul Rahman. "Bunyinya pelecup, pelecup, pelecup..." jawab mereka beramai-ramai. "Pelecup kepala hotak kamu! Sudah, pergi buang segera!" bentak Meor Abdul Rahman. Setelah didesak oleh Meor Abdul Rahman, mereka pun mencampakkan keris-keris tersebut ke dalam laut, di tempat di mana keris tersebut ditemui. Menurut Meor Abdul Rahman, jika keris tersebut tidak dikembalikan semula ke laut, dikhuatiri suatu perkara buruk akan berlaku, seperti kedatangan ribut dan sebagainya. Dengan takdir Allah, maka pada hari ketiga daripada berlakunya peristiwa itu, timbullah seekor buaya putih di tempat di mana keris-keris tersebut dicampakkan Dua minggu kemudiannya, Meor Abdul Rahman dan keluarganya pun meninggalkan Pulau sudong untuk pulang ke kampungnya di Taiping, Perak. Penduduk-penduduk pulau itu dengan sedih telah keluar beramai-ramai mengucapkan selamat jalan kepada beliau sekeluarga. Ketika perahu yang dinaiki oleh beliau perlahan-lahan meluncur, penduduk Pulau Sudong pun berpantun, yang berbunyi: Pulau Sudong tanahnya lembah, Tanam senduduk bercabang dua; Pulau Sudong tanahnya bertuah, Dagang menumpang sehari dua. Lalu dijawab oleh beliau: Pulau Sudong tanah sakti, Sayang ketapang bercabang dua; Hikmat Gayong meninggalkan bakti, Memimpin wanita menempuh bahaya. Meor Abdul Rahman bersama kedua-dua isterinya, anak sulungnya dan ahli keluarganya yang lain berangkat pulang ke Taiping dengan menumpang sebuah kereta api barang. Turut berada di dalam gerabak kereta api tersebut ialah askar-askar Jepun yang ingin bergerak ke Utara. Pada tahun 1943, Meor Abdul Rahman telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pemerintah tentera Jepun kerana beliau telah membunuh seorang askar Jepun yang cuba mengganggu (cuba memperkosa) isteri pertama Meor Abdul Rahman. Sewaktu dibawa keluar dari penjara untuk menjalani hukuman mati iaitu hukuman gantung, Meor Abdul Rahman dengan penuh berani dan nekad telah melawan dan berjaya menumpaskan pengawal-pengawal Jepun yang bersenjata api dan pedang samurai. Dengan berkat ilmu Silat Seni Gayong, perut askar Jepun yang mengawalnya dirodok dengan hujung jejari tangan hingga terburai isi perut. Walaupun tidak berjaya melepaskan diri secara total, tindakannya ini dengan kuasa Allah telah menyebabkan beliau dibebaskan secara bersyarat (atas nasihat jurubahasa Jepun yang berbangsa Melayu). Tidak lama kemudian, Meor Abdul Rahman telah dipaksa menjadi seorang polis Jepun (Kempeitai). Seperti askar Jepun yang lain, kepala beliau telah dibotakkan dan diberikan seragam polis Jepun. Semasa bertugas sebagai polis Jepun, beliau pernah ditugaskan ditugaskan di Ipoh, Perak dan Meor Abdul Rahman pernah beberapa kali menewaskan beberapa orang ketua Persatuan Komunis Malaya (PKM) yang terkenal handal dan kebal. |