Peristiwa di Pulau Sudong
Selepas sehari berkayuh akhirnya beliau dan keluarga beliau mendarat di sebuah pulau yang kelihatannya agak selamat daripada hujan peluru musuh. Di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman telah disambut oleh seorang penduduk pulau yang bernama Naning. Naning telah memaklumkan syarat untuk orang luar yang ingin menumpang di pulau tersebut, iaitu bertarung dengan seorang jaguh Pulau Sudong, yang bernama Wak Kusang. Wak Kusang berkulit gelap,bertubuh pendek tetapi tegap. Beliau mempunyai lengan sebesar paha orang dewasa. Penduduk Pulau Sudong mula keluar beramai-ramai untuk menyaksikan pertarungan tersebut. Mereka telah memukul gendang sambil bersorak-sorai seolah-olah menyaksikan suatu pesta pula.
Dalam keadaan diri yang sangat keletihan setelah sehari suntuk mengharungi lautan, Meor Abdul Rahman terpaksa pula berlawan dengan pendekar Pulau Sudong bagi memenuhi tuntutan syarat jika ingin menumpang di pulau tersebut. Sebelum pertarungan bermula, beliau terlebih dahulu meminta pandangan ahli keluarga beliau. Nampaknya beliau sudah tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa menghadapi Wak Kusang. Pertarungan antara Wak Kusang dengan Meor Abdul Rahman berlangsung di kawasan tanah perkuburan, kerana penduduk pulau membina rumah bertiang tinggi di tepi pantai, manakala bahagian tengah pulau dikhaskan sebagai tanah perkuburan. Pertarungan tersebut berlangsung dalam suasana yang sangat tegang dan hebat. Dengan berkat ilmu Silat Seni Gayongnya, maka di akhir pertarungan, Wak Kusang telah dihempas oleh Meor Abdul Rahman. Darah mula mengalir daripada kepala Wak Kusang kerana kepala beliau telah terhempas ke batu nesan kubur di situ. Kemenangan Meor Abdul Rahman telah disambut dengan perasaan gembira oleh ahli keluarga beliau. Penduduk pulau pula telah bersorak gembira seolah-olah menyaksikan suatu perlawanan sabung haiwan.

Peta Pulau Sudong
Pada suatu malam, lebih kurang satu minggu beliau berada di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman telah bermimpi didatangi satu lembaga yang memberi amaran kepadanya iaitu suatu bahaya akan menimpa penduduk Pulau Sudong. Lembaga tersebut menyuruh Meor Abdul Rahman berusaha menghalang bahaya itu dan ia (lembaga itu) berjanji akan membantu beliau. Pada keesokan harinya iaitu pagi tanggal 17 Februari 1942, penduduk Pulau Sudong telah mendapat khabar bahawa tentera Jepun akan mendarat. Orang-orang yang berada di Pulau sudong menjadi gempar. Berita tentang pendaratan tentera Jepun telah membimbangkan penduduk pulau kerana mereka banyak mendengar berita tentang kekejaman tentera Jepun. Seorang nelayan dari pulau berdekatan datang ke Pulau Sudong memberitahu anak dan isterinya telah dirampas oleh tentera Jepun dan dibawa naik ke atas kapal perang mereka. Terdapat beratus-ratus kapal perang Jepun yang berlabuh di hadapan Pulau Bukum. Berita ini telah menggemparkan penduduk Pulau Sudong. Masing-masing menjadi begitu khuatir dan bimbang, lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak gadis. Penghulu dan penduduk pulau telah berkumpul dan mula membincangkan soal keselamatan anak-anak gadis mereka yang berada dalam keadaan bahaya. Berbagai-bagai pandangan dikemukakan. Penghulu Pulau Sudong mencadangkan supaya dipindahkan sahaja semua perempuan-perempuan muda ke Pulau Senang atau ke Pulau Pawai sementara yang lain mencadangkan supaya perempuan-perempuan muda disorokkan ke dalam hutan. Yang lebih berani pula menyuruh supaya menentang sahaja orang-orang Jepun yang ingin merosakkan anak-anak gadis pulau itu serta bermacam-macam lagi cadangan. Setelah keadaan menjadi semakin buntu, Meor Abdul Rahman pun memberikan pandangan beliau. Orang-orang pulau memang menaruh harapan kepada beliau kerana mereka mengetahui Meor Abdul Rahman pernah menewaskan jaguh Pulau Sudong, iaitu Wak Kusang.
"Saya ada satu ilmu yang guru saya bagi. Ilmu ini belum pernah dicuba, tetapi kita boleh cuba. Syaratnya kena masuk Gayong dahulu." kata Meor Abdul Rahman.
Penduduk Pulau Sudong kemudian diarah untuk mengisikan air ke dalam tempayan. Mereka bertanyakan Meor Abdul Rahman di mana mereka boleh mendapatkan air tawar kerana pada kebiasaannya air tawar diperoleh dari Pulau Senang. Meor Abdul Rahman lalu berdoa memohon supaya diturunkan hujan. Dengan izin Allah, tidak berapa lama kemudian langit pun mendung dan hujan mulai turun. Orang-orang kampung lalu mengisikan tempayan dengan air hujan. Setelah air tempayan itu dibacakan doa dan ayat-ayat Al-Quran, Meor Abdul Rahman pun menjiruskan/memperlimaukan tujuh orang pemuda yang sanggup menentang kemasukan tentera Jepun.Tujuh pemuda tersebut terdiri daripada Naning, Mat Resad, Ahmad Puah, Kekeh, Mustapa, Bendol dan Wak Kusang. Itulah detik permulaan Meor Abdul Rahman memperkenalkan ilmu Silat Seni Gayong serta adat istiadatnya kepada orang ramai yang berlaku pada kira-kira jam 11.00 pagi 17 Februari 1942 di rumah penghulu Pulau Sudong.
Pada waktu itu laut kelihatan dipenuhi api yang menjulang. Pulau Bukum kelihatan telah terbakar. Penduduk Pulau Sudong kemudian diminta mengumpulkan periuk belanga dari tiap-tiap rumah. Buntut periuk tersebut kemudian dikikis untuk diambil arangnya. Ada periuk yang pecah akibat terlalu kuat dikikis. Selepas itu arang tersebut dicampurkan dengan minyak kelapa dan dibancuh seperti membancuh simen. Meor Abdul Rahman kemudiannya mengumpulkan semua perempuan yang berada di Pulau Sudong. Campuran arang dan minyak kelapa itu pun disuruh sapu ke muka dan bahagian-bahagian yang terdedah kaum perempuan. Tepung gandum pula diletak dicelah-celah rambut supaya rambut kelihatan seperti telah beruban. Perempuan-perempuan muda kemudian disuruh masuk ke dalam rumah Meor Abdul Rahman(kira-kira seramai 200 orang). Meor Abdul Rahman kemudian meminta beras kunyit. Setelah dibacakan doa tertentu, beras kunyit tersebut diserahkan kepada Naning. Naning kemudian mengetuai enam lagi rakannya pun mula bergerak mengikut gerak hati yang dipimpin oleh semangat beras kunyit tersebut. Apabila sampai di tepi pantai, Meor Abdul Rahman menyuruh Naning menabur beras kunyit ke laut dan mengarahkan Naning dan rakan-rakannya meraba-raba(menggagau) di dalam air. Sebanyak tujuh bilah keris tanpa hulu dan tanpa sarung diperoleh dari dalam air laut di gigi pantai tersebut. Meor Abdul Rahman mengarahkan Naning dan rakan-rakannya membalut bahagian hulu keris dengan kain layar buruk serta sedikit kain kuning. Keris-keris tersebut lalu disorokkan dicelah dinding atap rumah Meor Abdul Rahman. Meor Abdul Rahman lalu bertanya kepada ketujuh-tujuh pemuda tadi apakah yang akan mereka lakukan sekiranya anak isteri mereka dirampas oleh tentera Jepun.
Mereka menjawab, "Kita bunuh. Jika Cikgu suruh bunuh, kami bunuh..."
Seorang daripada penghulu-penghulu pulau telah menyuarakan rasa kebimbangannya, takut-takut nanti jika dibunuh tentera Jepun tersebut, Pulau Sudong akan menjadi padang jarak, padang terkukur akibat serangan balas daripada tentera Jepun yang lain.
Ketujuh-tujuh mereka lalu menjawab,"Kami lebih rela mati syahid daripada hidup dayus..."
Keadaan ini telah membuktikan bahawa ketujuh-tujuh lelaki tersebut telah naik semangat keberanian. Dari tujuh orang murid lelaki pertama Gayong ini, hanya empat orang murid sahaja yang berani menawarkan diri menjadi pengawal di rumah Meor Abdul Rahman. Perempuan-perempuan tua pula disuruh mengusutmasaikan rambut dan ditempatkan di bawah pokok kelapa yang terdapat di pesisiran pantai Pulau Sudong.