Panglima Sendo PerakTanpa membocorkan rahsia pertemuannya dengan Hang Tuah di batu hitam itu, akhirnya Meor Abdul Rahman bergegas pulang ke Taiping. Sebelum itu beliau singgah sebentar di rumah kekandanya di Kuala Nerang. Beliau tetap merahsiakan apa yang telah dialaminya daripada pengetahuan kedua-dua ibu bapanya. Sebagai mematuhi amanat di dalam mimpinya, beliau telah meminta izin daripada bondanya Sharifah Aluyah untuk menghadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak ketika itu iaitu Almarhum Sultan Alang Iskandar. Sharifah Aluyah menurut ceritanya pernah dipinang oleh Sultan Alang Iskandar suatu ketika dahulu. Beliau ditemani beberapa orang rakannya (yang menjadi pegawai kerajaan) berbasikal beramai-ramai menuju ke istana. Ketika tiba di istana, Meor Abdul Rahman telah diberitahu bahawa Sultan Alang Iskandar telah berangkat ke Manong menghadiri suatu majlis keramaian. Meor Abdul Rahman dan rakan-rakannya pun bergegas ke Manong. Untuk menghadap sultan bukannya tugas yang mudah. Beberapa kali Meor Abdul Rahman dihalang oleh Datuk Seri Nara Diraja. Pada ketika itu baginda sultan tengah sibuk kerana sedang bermain mahjong. Setelah puas didesak akhirnya Datuk Seri Nara Diraja membenarkan Meor Abdul Rahman bertemu dengan Sultan, "Kamu nak jumpa, kamu pergilah jumpa. Tapi kalau kamu kena sebat, itu kamu punya pasal" kata Datuk Seri Nara Diraja mengingatkan Meor Abdul Rahman tentang baginda Sultan yang terkenal bengis dan garang. Lalu dijawab oleh Meor Abdul Rahman, "Kena sebat pun tak apa" "Kamu nak apa?" titah Sultan Alang Iskandar sebaik sahaja Meor Abdul Rahman menghadap. "Tuanku, patiklah orang yang paling gagah sekali di negeri tuanku." sembah Meor Abdul Rahman kepada baginda Sultan. "Hah! Hah! Apa kamu kata? Kamu nak melawak dengan aku ya? Kamu tahu aku siapa? Kamu nak kena sebat?" Baginda Sultan kembali bertitah sebaik sahaja mendengar kata-kata Meor Abdul Rahman yang dirasakan seperti hendak mempersendakan baginda. "Tahu tuanku. Tuanku Raja Perak, raja patik. Tapi kalau tuanku tak percaya, patik boleh buktikan." ujar Meor Abdul Rahman pula. "Pergi angkat Puteh Lawak!" titah Sultan. Di hadapan Sultan, beliau telah menunjukkan kegagahan beliau dengan mengangkat Puteh Lawak yang berbadan besar dengan hanya menggunakan sebelah tangan sahaja. Puteh Lawak telah dijulang dan diputar-putarkan sebelum dicampak. "Megah sungguh kamu ni." titah baginda Sultan selepas menyaksikan peristiwa tersebut. Selepas peristiwa itu, baginda Sultan telah memerintahkan Meor Abdul Rahman agar menghadap baginda sekali lagi iaitu bertempat di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Di sana Meor Abdul Rahman telah menunjukkan kebolehannya membengkokkan paku sepanjang enam inci, membengkokkan besi dengan leher, berlawan tarik tali dengan 50 orang lelaki (25 di kanan, dan 25 di kiri), mematahkan wang syiling perak dengan menggunakan jari (Setengah bahagian daripada wang syiling perak 50 sen ini disimpan oleh Cikgu Siti Kalsom manakala setengah bahagian yang lain disimpan oleh waris Almarhum Sultan Idris Syah. Wang syiling ini kelihatan seperti telah disiat kepada dua bahagian), badan beliau digelek dengan kereta Bentley milik Sultan dan beliau juga berjaya memutuskan rantai pengikat kaki gajah. Semua ujian tersebut dijalankan pada waktu malam. Sultan Alang Iskandar masih lagi belum berpuas hati. Pada keesokan harinya baginda telah memerintahkan Meor Abdul Rahman mengangkat selaras meriam penabur yang terbesar di istana. Atas kejayaannya itu, baginda Sultan telah menggelarnya "Panglima Sendo Perak" atau "Orang Kuat Perak". Sejak hari itu beliau dikenali sebagai "Rahman Sendo". Baginda juga berkenan mengambil beliau sebagai anak angkat dan mulai saat itu, tinggallah Meor Abdul Rahman di Istana Mercu, Kuala Kangsar. Meor Abdul Rahman hanya kembali semula ke kampungnya (Kampung Pokok Assam) setelah Sultan Alang Iskandar mangkat pada tahun 1938. Beliau telah dinasihatkan oleh ayahanda saudaranya, Ngah Majid yang menjawat jawatan Panglima Perang Kiri Perak supaya pulang semula ke Kampung Pokok Assam untuk mengelakkan diri beliau dianiayai oleh pembesar negeri yang cemburu kepada beliau. |