Syed Zainal Al-Attas

Berguru Dengan Syed Zainal Al-Attas

Ketika umur Meor Abdul Rahman 12 tahun, barulah beliau berpeluang berguru dengan datuknya iaitu Syed Zainal yang ketika itu sudah menjangkau ke usia 100 tahun lebih. Segala ilmu dan petua Silat Seni Gayong diperturunkan satu persatu oleh Syed Zainal Al-Attas. Hari berganti minggu, bulan berganti tahun, Silat Seni Gayong semakin sebati dalam diri Meor Abdul Rahman. Segala sepak terajang orang bersilat ditempuhi dengan hati yang tabah.

Meor Abdul Rahman mempelajari Silat Seni Gayong bersama-sama 40 orang rakannya di Kampung Pokok Assam, Taiping. Keluarga beliau berpindah ke Kampung Pokok Assam ketika usia beliau kira-kira 10 tahun. Kekandanya, Meor Abdul Aziz tidak ikut sama mempelajari silat kerana beliau lebih gemarkan aktiviti bermotosikal dan memiliki tiga buah motosikal.

Setelah tiga tahun berguru dengan Syed Zainal,kesemua rakan-rakannya telah dikhatamkan oleh Syed Zainal kecuali beliau seorang. Meor Abdul Rahman begitu kecewa dengan sikap datuknya yang tidak mengkhatamkan dirinya seperti rakan-rakannya yang lain. Beliau telah menjadi mangsa ejekan rakan-rakannya sehingga digelar "buah yang tidak masak". Beliau tidak tahu sampai bilakah datuknya akan "menggantungnya secara tidak bertali".

Beliau lantas mengadu kepada bondanya. Kerana rasa kasih terhadap anakandanya tersebut, Sharifah Aluyah lalu bersemuka dengan ayahandanya Syed Zainal dan bertanyakan ayahandanya itu mengapa Meor Abdul Rahman tidak dikhatamkan sebagaimana rakan-rakannya yang lain. Sharifah Aluyah sanggup menawarkan seekor kambing untuk disembelih sebagai syarat untuk Meor Abdul Rahman dikhatamkan. Walau bagaimanapun, permintaan Sharifah Aluyah tidak dapat dipenuhi oleh Syed Zainal. Menurut Syed Zainal, beliau tidak boleh mengkhatamkan cucunya tersebut kerana masanya belum tiba lagi. Apabila masanya tiba kelak, Meor Abdul Rahman pasti akan dikhatamkan walaupun bukan oleh beliau,datuknya. Menurut firasat Syed Zainal, cucunya Meor Abdul Rahman akan dikhatamkan oleh orang ghaib di suatu tempat yang terletak di sempadan Siam - Tanah Melayu. Syed Zainal menyuruh Sharifah Aluyah menasihatkan Meor Abdul Rahman supaya menunggu sahaja ketibaan masa pengkhataman tersebut.

Penjelasan bondanya tersebut sedikit-sebanyak telah melegakan hati Meor Abdul Rahman, namun dia terus menanti-nanti masa yang disebutkan oleh datuknya itu. Ketika usianya sembilan belas tahun, beliau sudah pun mahir dalam segala aspek ilmu persilatan dan adat istiadat Silat Seni Gayong ini. Sebagai seorang anak muda yang sedang naik, Meor Abdul Rahman sering sahaja terlibat dalam peristiwa beradu tenaga dan sentiasa pula dapat menewaskan lawannya tersebut.