Jaguh Seni Bela Diri

Jaguh Seni Beladiri


Sebenarnya, sepanjang Dato' Meor Abdul Rahman mengembangkan Silat Seni Gayong, beliau telah banyak kali dicuba oleh pakar-pakar seni bela diri, sama ada dari luar negeri mahu pun pakar seni bela diri tempatan. Pada pertengahan tahun 1950-an, Dato' Meor Abdul Rahman pernah menumpaskan seorang ahli gusti berbangsa Eropah yang mempunyai saiz badan dua kali ganda berbanding beliau di Singapura. Ahli gusti yang mempunyai berat badan 380 lb itu dikenali dengan nama King Kong dan merupakan seorang juara gusti dunia yang tidak pernah kalah pada zamannya. King Kong juga merupakan seorang ahli gusti yang gemar melanggar peraturan gusti.
Dato Meor Rahman bersama juara gusti dunia, King Kong
Dato Meor Rahman bersama juara gusti dunia, King Kong
Dato' Meor Abdul Rahman juga pernah dicuba oleh pakar seni beladiri Jepun yang berbangsa Eropah seperti Donn F. Draeger (1970-an), Ricky "the Dragon" Steamboat(ahli gusti) dan Jan de Jong (1980-an). Dato' Meor Abdul Rahman, walaupun telah berusia ketika itu, hanya menggunakan sedikit sahaja daripada kudratnya untuk menumpaskan jaguh-jaguh seni bela diri asing tersebut. Jan de Jong akhirnya akur dengan kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman dan akhirnya meminta untuk berguru dengan beliau. Disebabkan Silat Seni Gayong tidak boleh diturunkan kepada mereka yang bukan beragama Islam, maka Jan de Jong hanya diajar aspek fizikal Silat Seni Gayong, iaitu lebih berupa beberapa petua tentang penangkap di dalam Silat Seni Gayong, serta beberapa teknik serangan dan belaan menggunakan senjata simbat (kayu pendek). Lagipun, Jan de Jong adalah seorang pakar Jujitsu, iaitu beliau sangat gemarkan teknik kuncian dan jatuhan.
Jand de Jong sedang mengajar pelajar-pelajarnya
Jand de Jong sedang mengajar pelajar-pelajarnya
Ketika melawat Osaka, Jepun pada tahun 1970, Dato' Meor Abdul Rahman pernah mencuba ilmunya pada samurai Jepun. Samurai Jepun tersebut telah diberikan penimbul oleh Dato' Meor Abdul Rahman sehinggakan Samurai tersebut kehairanan melihatkan kulitnya yang tidak melecur apabila dicurahkan air panas yang baru mendidih.

Ketika berada di Soho, England pada tahun 1973, Dato' Meor Abdul Rahman pernah ditarik oleh samseng Cina. Ketika itu bersama-sama beliau ialah Syed Ahmad Jamalullail. Dato' Meor Abdul Rahman telah bertarung dengan samseng-samseng Cina tersebut dan berjaya menumpaskan samseng-samseng Cina tersebut.