Melawan Jaguh Tomoi


Melawan Jaguh Tomoi

Selepas peristiwa pertemuannya dengan Hang Tuah di batu hitam, bertempat di suatu kawasan terpencil di sempadan Malaysia-Thai, Meor Abdul Rahman mendapati dirinya beroleh suatu kekuatan yang amat luar biasa. Misi pengembaraannya untuk mencari "orang ghaib" sepertimana yang pernah disebut oleh nendanya, Syed Zainal sudah pun berakhir. Dalam perjalanan pulang ke Kuala Nerang, Meor Abdul Rahman telah berjumpa dengan gelanggang tomoi. Meor Abdul Rahman lalu bertanya kepada orang-orang Siam di situ,

"Apa nama permainan ni?"

"Kamu boleh main tomoi?" tanya orang-orang Siam di situ.

"Silat saya boleh. Tomoi saya tak tahu" jawab Meor Abdul Rahman.

"Sama juga. Orang Siam panggil Tomoi, orang Melayu panggil silat. Hang kalau nak cuba, hang cubalah. Tapi kalau kena tendang, patah gigi, patah tangan, hang jangan minta apa-apa!" kata orang Siam di situ.

Meor Abdul Rahman pun masuk ke gelanggang Tomoi dan bertarung dengan salah seorang jaguh tomoi tempatan. Dalam perlawanan tersebut, Meor Abdul Rahman telah menggunakan kepandaiannya dalam Silat Seni Gayong, sehingga menyebabkan juara tomoi tersebut tunggang-langgang dikerjakan oleh Meor Abdul Rahman.

"Hang ni pendekar besar. Aku tak boleh lawan hang. Hang gagah betul. Hang ni orang pendekar." kata juara tomoi tersebut sambil meminta perlawanan tersebut dihentikan.

Kini Meor Abdul Rahman berdepan pula dengan tugas lebih mencabar iaitu menghadap raja yang memerintah di negerinya (Perak) sebagai memenuhi amanat Tuah.