Silat Seni Gayong Malaysia

Beliau telah dikhatamkan oleh "Laksamana Hang Tuah" di dalam mimpinya ketika beliau tertidur di atas sebuah batu hampar hitam di tebing sungai dalam kawasan hutan Menam, Thailand. Beliau telah dicurahkan segala rahsia ilmu kepahlawanan dan mempertahankan diri, seterusnya diamanahkan untuk mengembangkan Silat Seni Gayong ini seluas-luasnya, dengan mengikut syarat-syarat tertentu, pada masa-masa tertentu.
Perkataan silat itu pada umumnya bolehlah difahamkan sebagai suatu teknik pembawaan bunga-bunga tarian dan pelajaran silat gayong itu pula dimaksudkan kepada buahnya yang sebenar, yang mengandungi hikmat-hikmat kesaktian yang menakjubkan, kepantasan yang luar biasa dan kepintaran yang mengelirukan, yang terkandung di dalam kandungan gerak semula jadi, iaitu pergerakan pantas secara automatik.
Silat Gayong yang mengandungi pelajaran sepak-menyepak, tumbuk-menumbuk, tikam-menikam, tangkap-menangkap, hempas-menghempas, buang-membuang, sekat-menyekat, elak-mengelak, hadang-menghadang, tangkis-menangkis dan seumpamanya lagi itu adalah menjadi pakaian keperwiraan kepada setiap lelaki dan wanita. Pelajaran ini amatlah berguna dalam masa kecemasan bagi mempertahankan diri sebagai perisai untuk menghadapi serangan musuh atau lawan.
Dalam suatu pertarungan yang menggunakan sepenuh tenaga kekuatan dan kepintaran untuk mengalahkan lawannya, sama ada dengan menggunakan senjata ataupun tanpa menggunakan senjata, pertarungan yang seumpama itu biasanya dinamakan Gayong. Tetapi pelajaran silat yang dimaksudkan kepada bunga-bunga tarian bagi pelajaran gayong itu adalah lebih merupakan pertunjukan atau persembahan yang tertentu, umpamanya untuk menyerikan sesuatu majlis keramaian, atau kerana sesuatu upacara istiadat di dalam kebudayaan Melayu. Maka di dalam pertunjukan yang seumpama itu, ia tidak lebih dari persembahan sebagai imabsan pertarungan yang dipenuhi dengan keindahan seni bunga-bunga tarian dalam pelajaran silat gayong. Ia disampaikan dengan penuh ketenangan jiwa, sabar dan bertata-tertib dan tertaklub kepada taraf majlis di mana persembahan itu diadakan. Persembahan seumpama itu dinamakan bersilat.